KOTA BHARU – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi di sini bersama kira-kira 5,000 jemaah sempena sambutan 1 Syawal.
Seri Paduka diiringi Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra, Kerabat Diraja Kelantan serta pembesar negeri Kelantan.
Seri Paduka dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Muhammad Hana Pizi Abdullah manakala Mufti Negeri Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad bertindak sebagai khatib.
Sultan Muhammad V yang juga Sultan Kelantan kemudiannya beramah mesra dengan jemaah yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Seri Paduka serta Tengku Muhammad Faiz sebaik selesai khutbah Aidilfitri.
Mohamad Shukri ketika menyampaikan khutbah bertajuk ‘Berhari raya mengikut kaca mata Islam’, berkata, umat Islam berhimpun untuk menunaikan solat Aidilfitri secara berjemaah, memperlihatkan wujudnya persatuan dan kesatuan umat, kerapian dan kekukuhan barisan saf. – Bernama










