KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan unik dalam pentadbiran negara dan bukan bertindak sebagai rubber stamp atau pak turut kepada semua keputusan kerajaan termasuk berhubung isu pelantikan Peguam Negara yang baharu.
Menurut Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Muhammad Fathi Yusof, walaupun Perkara 40(1) dan 1(A) Perlembagaan Persekutuan ada menyebut Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri atau Kabinet, namun ia tidak bermakna Seri Paduka hanya berperanan untuk membuat pengesahan berhubung semua tindakan kerajaan tanpa sebarang bantahan.
Katanya, berdasarkan Perkara 145(5), atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seseorang yang memenuhi kelayakan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan untuk menjadi Peguam Negara.
“Yang di-Pertuan Agong berhak menolak nasihat yang diberikan jika ia lebih mendatangkan keburukan, lebih-lebih lagi Perkara 145(5) menyebut bahawa Peguam Negara memegang jawatan selama mana diperkenan oleh Seri Paduka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.










