Agihan pendapatan ASD, ASN Equity 2 diumum - Utusan Malaysia

Agihan pendapatan ASD, ASN Equity 2 diumum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dua tabung unit Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018 iaitu dana harga tetap Amanah Saham Didik (ASD) dan dana harga ber­ubah ASN Equity 2.

Memuatkan artikel berkaitan…

Agihan pendapatan bagi ASD ialah 6.25 sen seunit manakala ASN Equity 2 ialah 3.10 sen se­unit.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, ASD akan membayar sebanyak RM360.7 juta sebagai pengagihan pendapatan kepada lebih 290,000 peme­gang unit yang kini meme­gang 5.845 bilion unit.

Pengagihan pendapatan untuk ASN Equity 2 pula melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM46.9 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 29,000 pelabur yang memegang 1.512 bilion unit.

“Kami gembira PNB mampu dan terus menghasilkan pulangan yang kompetitif sepanjang tahun kewangan bagi kedua-dua dana ini.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada kejayaan pe­laksanaan Pelan Stra­tegik STRIVE-15 PNB 2017-2022 untuk terus menjana pula­ngan yang mampan bagi pemegang unit kami pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Abdul Wahid menjelaskan, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASD berdasarkan purata baki minimum yang dipegang sepanjang tahun kewa­ngan tabung tersebut.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASN Equity 2 berdasarkan kepada unit yang dipegang dan Nilai Aset Bersihnya setakat 30 Jun 2018.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh kedua-dua tabung akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai ini.

Semua urus niaga untuk ASD dan ASN Equity 2 telah ditangguhkan mulai 27 Jun 2018 hingga 30 Jun 2018 untuk pengiraan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN