BEAUFORT 27 Jun – Kerajaan negeri yang ditadbir oleh pentadbiran baharu tetap akan bersikap adil dalam melaksanakan pembangunan di negeri ini.
Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, pelan pembangunan yang dirancang dan bakal dilaksanakan kerajaan adalah bersifat menyeluruh dengan objektif utamanya untuk kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terutama di kawasan yang diwakili pembangkang tidak perlu risau kerana kerajaan negeri tidak akan meminggirkan mereka daripada menikmati pembangunan.
“Rakyat di kawasan pembangkang jangan rasa terpencil kerana kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan membangunkan negeri ini tanpa sempadan dan pilih kasih,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya bersama Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah di surau Kampung Silaun Gadong di sini, semalam.
Yang turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Kadayan Sabah (Paadian), Osman Ahmed.
Dalam pada itu, Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata, kepimpinan diperingkat kampung perlu sehaluan dengan matlamat kerajaan iaitu komited untuk menjaga menjaga kebajikan semua pihak.
“Justeru saya berharap data penduduk setempat setiap lokaliti dapat dikemaskini dari semasa ke semasa agar tidak ada rakyat yang memerlukan bantuan tidak tercicir, selain memudahkan kerajaan mengenal pasti mereka yang layak mendapat bantuan” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











