DALAM setiap zaman, Islam melalui pelbagai fasa perkembangannya. Di kala berlakunya kerosakan dalam kalangan umat Islam, perlu ada usaha tajdid atau pembaharuan dilakukan.
Pembaharuan bukan bermaksud mengubah atau menambah kandungan ajaran agama. Sebaliknya, pembaharuan dilaksanakan bagi memastikan umat Islam mampu mendapati cabaran semasa sama ada dalam bentuk pemikiran, sosial, pendidikan dan ekonomi.
Tidak dapat dibayangkan, misalnya, apa berlaku jika berlaku umat Islam yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia sukar memastikan makanan yang dijual di pasaran menetapi piawaian halal atau tidak.
Begitu juga pasangan Islam yang berkahwin sukar menemui rekod pernikahannya ekoran tiada pangkalan data sistematik.
Selain itu, bagaimanakah agaknya keadaan umat Islam tanpa kewujudan satu sistem pungutan dan agihan zakat secara telus dan cekap.
Justeru, langkah-langkah bersifat ijtihadi perlu bagi memenuhi keperluan maqasid syariah.
Perspektif
Memandangkan ia sekadar bersifat ijtihadi, maka institusi tersebut terdedah kepada kritikan. Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), segelintir individu atau pertubuhan mula berani mendesak agar agensi Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan.
Meskipun individu terbabit tidak mewakili khalayak terbesar, golongan itu berselindung di sebalik ‘kanta pembesar’ hingga perspektif mereka mendominasi wacana pasca PRU-14.
Sebagai reaksi kepada kelompok berkenaan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih jalan agar peranan Jakim dibincangkan dengan mengumpulkan sejumlah ilmuwan Islam serta cendekiawan.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru menang pilihan raya sudah pasti tidak akan membuat keputusan tidak bijak dengan memansuhkan Jakim.
“Kita akan tentukan di negara ini, Islam tidak digambarkan sebagai agama yang zalim, keras dan tidak bertimbang rasa,” kata Mahathir pada sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet keduanya pada Rabu lalu.
Lama sebelum kembali semula menjadi Perdana Menteri sebelum ini, Mahathir pernah mengkritik bahawa: “Kitab al-Quran menyebut tidak ada paksaan dalam agama tetapi Jakim mahu semua orang mengikuti Islam versi mereka.”
Mahathir berkata, Islamisasi di Malaysia menjadikan orang ramai dikehendaki tidak perlu berfikir jika membabitkan soal agama.
“Mereka tidak mahu orang ramai berfikir, cuma terima sahaja apa yang diajar dan apa yang menjadi kepercayaan,” katanya penuh kritis.
Mahathir berkata, beliau membaca al-Quran tetapi tidak ada dinyatakan bahawa zakat perlu dibayar melalui kerajaan (agensi zakat).
“Tetapi saya bayar zakat melalui kerajaan kerana ia lebih mudah,” katanya yang secara tidak langsung mengiktiraf peranan agensi zakat di negara ini.
Namun ada satu ketika seorang pegawai kanan agama menyatakan, umat Islam boleh jatuh berdosa sekiranya membayar terus zakat kepada orang miskin dan tidak kepada pusat pungutan zakat. Perkara ini yang mencalarkan imej agensi Islam itu.
Sebenarnya, Jakim telah menelusuri sejarah yang panjang. Penubuhannya semenjak dari awal adalah menepati semangat Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
Namun kontroversi ditimbulkan segelintir pihak apabila kerajaan Barisan Nasional memperuntukkan bajet RM1.03 bilion untuk pembangunan Islam yang merupakan salah satu daripada 12 senarai di bawah Perbelanjaan Operasi Jabatan Perdana Menteri pada 2018.
Soal bajet yang tinggi tersebut perlu diteliti kerana sebenarnya ia turut membabitkan kos pembayaran elaun guru agama, imam, bilal yang bekerja di peringkat akar umbi.
Pembaharuan
Dalam hal ini, Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa muncul sebagai salah seorang daripada pemimpin PH yang mengambil pendirian menolak gesaan agar Jakim dimansuhkan sebaliknya ia perlu melalui proses pembaharuan.
Malah beliau mahu Raja-raja Melayu dikembalikan peranannya dalam menjaga Islam.
Katanya, langkah itu penting bagi membebaskan Islam daripada dieksploitasi sebagai alat politik dan radikalisasi.
“Raja-raja Melayu sebagai institusi tiada kepentingan politik boleh berperanan dalam depoliticising Islam bagi memastikan Islam menjangkau kepentingan politik dan kaum,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat pro dan kontra tentang cadangan Mujahid untuk meletakkan institusi Islam secara terus di bawah Majlis Raja-Raja.
Sebenarnya tiada bezanya dengan Jakim sekarang yang secara tidak langsung bertanggungjawab kepada Majlis Raja-Raja.
Dalam hal ini, rakyat mahu memastikan adakah dengan cara meletakkan secara langsung di bawah Majlis Raja-Raja, jika berlaku penyimpangan dalam perjalanan dan hala tuju agensi Islam tersebut, adakah rakyat mempunyai ruang untuk membetulkan keadaan melalui peti undi?
Berbeza jika agensi Islam tersebut terus berada di bawah kerajaan (eksekutif), sebarang penyimpangan mudah ditegur dan dibetulkan.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysi (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berharap Perdana Menteri memberikan perhatian yang khusus terhadap agenda pemerkasaan Islam di Malaysia termasuk melibatkan agensi-agensi yang terlibat dalam pentadbiran agama Islam sama ada di peringkat Pusat mahupun di peringkat negeri.
“Hal ini bukan sahaja dengan menambahkan peruntukan kepada majlis-majlis serta jabatan agama Islam supaya institusi agama seperti masjid, surau dan sekolah-sekolah agama dapat diperkasakan malah ia juga bermaksud pengukuhan dari sudut program, perundangan, perjawatan dan sebaran pemahaman agama,” katanya.
Jelas Abdul Halim, usaha pemerkasaan itu perlu melibatkan aspek memberikan kefahaman kepada masyarakat Islam dan bukan Islam tentang fungsi dan peranan agensi-agensi pentadbiran agama Islam di negara ini.










