KUALA LUMPUR 2 Jun – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hari ini mengesahkan akan melepaskan jawatan yang disandangnya pada 20 Jun ini.
Raja Mohamed Affandi berkata, jawatan itu akan diambil alih oleh bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang juga bekas Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menurutnya, keputusan tersebut telah dibuat oleh Majlis Angkatan Tentera (MAT) yang sebulat suara memilih Zulkifli untuk menggantikan beliau sebelum mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
“Saya menerima keputusan yang dibuat dengan hati terbuka dan berbesar hati untuk menyerahkan jawatan ini kepada beliau.
“Malah beliau juga antara calon sesuai dengan pengalaman dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat khasnya untuk membawa perkhidmatan ini berada pada satu tahap yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Raja Mohamed Affandi berkata, beliau akan menyerahkan jawatan disandangnya kepada Zulkifli di Kementerian Pertahanan pada tarikh lahirnya, 20 Jun ini.
Beliau yang dilahirkan di Besut, Terengganu memulakan perkhidmatan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin sebagai Panglima Angkatan Tentera pada 19 Disember 2016.










