KOTA KINABALU – Sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) tekad memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah penggal pertama yang berlangsung di Dewan Bangunan DUN, di sini hari ini.
Setakat pukul 11 pagi tadi, kelibat ADUN daripada kedua-dua parti tersebut masih tidak kelihatan kecuali Datuk Masiung Banah (ADUN Kuamut) yang berada di tempat duduk pembangkang di dalam dewan berkenaan.
Tindakan mereka memboikot sidang DUN pada hari ini dipercayai kerana beranggapan ia menyalahi undang-undang termasuk cubaan menggagalkan writ saman difailkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mendakwa pelantikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei lalu adalah tidak mengikut perlembangaan. – K! ONLINE











