KUALA LUMPUR 4 Jun – Peguam dan pemerhati politik, Datuk Abu Backer Sidek Mohamad Zan membuat laporan polis berkenaan segelintir netizen menghina dan mengugut Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam laman sosial Facebook.
Katanya, perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong itu sesuatu yang perlu dikawal bagi mengelak perkara buruk berkaitan perkauman akan terjadi.
“Saya membuat laporan supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan dan tangkapan segera di bawah kanun keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta undang-undang lain secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Isu itu mula timbul berikutan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan Tommy Thomas kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Peguam Negara baharu.
Bagaimanapun Yang di-Pertuan Agong dikatakan menolak cadangan nama tersebut dan memberi nama lain bagi jawatan itu. – UTUSAN ONLINE










