SHAH ALAM – Seramai 89 individu termasuk penjaga premis judi ditahan dalam Ops Dadu Judi Online (Jol) di sekitar Taman Sri Muda bermula Januari hingga Jun tahun ini.
Kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 56 tahun menerusi 25 serbuan Jol.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, Taman Sri Muda menjadi perhatian berikutan terdapat permintaan daripada pekerja-pekerja buruh dan kilang termasuk warga asing bagi memperoleh keuntungan segera.
“Modus operandi mereka hanya membenarkan pelanggan tetap dan kenalan rapat bagi memasuki premis judi tersebut.
“Setiap premis judi juga akan meminta kata laluan selain dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, polis berjaya merampas 280 komputer riba berjumlah RM140,000, empat buah mesin simulator serta wang tunai berjumlah RM5,432.
Ujarnya, antara permainan Jol paling popular adalah seperti ‘Roulette’ dan Black Jack.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (A) dan Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Dalam perkembangsan sama, Baharuddin menegaskan pihaknya akan melakukan operasi setiap hari tanpa kompromi dalam memastikan bandar raya Shah Alam bebas judi. – K! ONLINE











