KUALA LUMPUR 28 Jun – Seramai 64 individu yang terlibat dalam penganjuran perjudian bersama pemain sempena perlawanan Piala Dunia 2018 ditahan dalam Op Soga 7 yang dilancarkan oleh Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sejak 15 Jun lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tangkapan tersebut melibatkan tiga penganjur serta 61 pemain berusia dalam lingkungan 26 hingga 65 tahun.
“Turut dirampas dalam serbuan ini 64 telefon bimbit, satu tablet, 11 keping tercatit pertaruhan bookie dan jadual perlawanan.
“Dalam operasi ini juga polis turut merampas wang tunai berjumlah RM7,245 hasil daripada 61 serbuan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mazlan menjelaskan, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6 (1), 6 (3) dan 4 (1) Akta Pertaruhan 1953. – UTUSAN ONLINE











