25 maut, 300 cedera - Utusan Malaysia

25 maut, 300 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUATEMALA CITY 4 Jun – Sekurang-kurangnya 25 orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh ma­nakala hampir 300 penduduk cedera semalam akibat letusan Gunung Berapi Fuego, paling buruk sejak lebih empat dekad lalu.

Volcan de Fuego atau membawa maksud ‘Gunung Berapi Api’ memuntahkan lahar panas sepanjang lapan kilometer selain mengeluarkan kepulan asap hitam tebal dan debu yang tersebar ke bandar raya ini dan rantau lain.

Mayat mangsa yang rentung terbujur kaku di atas aliran lahar, sisa aliran lahar yang berasap ketika pasukan penyelamat memberikan rawatan kepada mangsa yang cedera parah selepas letusan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tragedi itu merupakan letusan kedua gunung berapi setinggi 3,763 meter berkenaan, tahun ini.

“Ia merupakan sungai lahar yang melimpahi tebing dan menjejaskan perkampungan El Rodeo. Terdapat mangsa yang cedera, melecur dan mati,” kata Setiausaha Agung Agensi Pengurusan Bencana Guatemala CONRED, Sergio Cabanas.

CONRED berkata, angka korban Gunung Berapi Fuego me­ningkat kepada 25 orang berbanding anggaran awal tujuh orang termasuk seorang kakita­ngan agensi itu.

Kira-kira 3,100 penduduk di­pindahkan dari kawasan itu. Pi­hak berkuasa berkata, mereka yang terbunuh tertumpu di tiga bandar iaitu El Rodeo, Alotenango dan San Miguel los Lotes.

Jurucakap jabatan bomba perbandaran, Cecilio Chacaj ber­kata, operasi menyelamat dalam pada itu dihentikan sementara waktu sehingga pukul 5 pagi waktu tempatan berikutan ke­adaan berbahaya dan cuaca buruk.

Puluhan video mengenai bencana itu dimuat naik di media sosial dan televisyen tempatan dengan menunjukkan tahap kemusnahan bencana tersebut.

“Malangnya El Rodeo tertimbus dan kami gagal untuk sampai ke perkampungan La Libertad kerana lahar dan mungkin ada mangsa yang maut di sana,” kata Cabanas.

Sementara itu Presiden Jimmy Morales berkata, beliau telah memanggil jemaah menteri Kabinetnya dan menimbang untuk mengisytiharkan darurat di kawasan Chimaltenango, Escuintla dan Sacatepequez.

Pihak berkuasa pe­nerbangan berkata, le­tupan itu memaksa La­pangan Terbang Antarabangsa La Aurora di Guatemala City menutup landasan kapal terbang ekoran masalah debu gunung berapi selain memberi jaminan kepada keselamatan pesawat dan penumpang.

Gunung berapi yang terletak kira-kira 40 kilometer dari ibu negara ini dan berhampiran bandar Antigua merupakan destinasi popular pelancong dan dikenali kerana ladang kopi.

Pihak berkuasa Guatemala pula berkata, letusan gunung berapi itu masih mendatangkan bahaya dan boleh mengakibatkan lebih ba­nyak aliran lumpur dan piroklastik.

“Suhu dalam aliran piroklastik boleh melebihi 700 darjah Cel­sius dan hujan abu gunung berapi boleh sampai ke kawasan dalam lingkungan 15 kilometer.

“Ini mungkin mengakibatkan lebih banyak aliran lumpur dan sungai berhampiran melimpah,” kata Pengarah Institut Seismologi, Gunung Berapi dan Meteorologi Guatemala, Eddy Sanchez.– REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini