KUALA LUMPUR – Hanya 24 saat diperlukan dua penjenayah bersenjata untuk melarikan sejumlah wang tunai bernilai RM17,500 dari sebuah bank terkemuka di Jalan Genting Klang, Setapak di sini petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 3.56 petang itu, seramai tujuh pekerja dan dua pelanggan berada di dalam bank berkenaan sebelum salah seorang dari dua suspek meluru masuk dengan memakai helmet bertutup penuh.
Difahamkan, kedua-dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal dilihat memakai jaket dan penutup muka bagi mengelakkan wajah mereka berjaya dikesan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek sempat memberikan kata-kata amaran sebelum meluru ke arah laci di kaunter petugas bank berkenaan.
“Suspek dilihat seperti mempunyai senjata api sebelum menjerit kata-kata amaran kepada semua mangsa yang berada di dalam bank berkenaan.
“Suspek hanya mengambil masa 24 saat untuk melarikan wang tunai di dalam laci berkenaan sebelum melarikan diri ke arah ibu kota dan tiada mangsa dicederakan ketika kejadian,” katanya ketika sidang akhbar selepas kejadian di sini hari ini. K! ONLINE










