KUALA LUMPUR 31 Mei – Dua kenyataan yang dibuat oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung dakwaan kewujudan ‘pakatan sulit’ (perjanjian rahsia) antara Lim Kit Siang dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak memfitnah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Itu antara intipati keputusan Hakim Datuk Nordin Hassan ketika menolak tuntutan saman fitnah Menteri Besar Kedah itu terhadap Tunku Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Nordin berpendapat, dua kenyataan yang dibuat pada 30 Disember 2016 dan 3 Januari 2017 oleh Tunku Abdul Aziz apabila diteliti secara keseluruhannya tidak menyerang integriti mahupun kredibiliti Mukhriz selaku pihak plaintif.
“Kenyataan tersebut pada maksud semula jadi atau lazim atau innuendo, tidak boleh dikatakan seperti yang dijelaskan pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan beliau.
“Misalnya pihak plaintif tidak telus dalam karier politiknya, membelakangkan rakan politiknya, menyembunyikan ‘pakatan rahsia’, gila kuasa, sanggup melakukan apa sahaja, mengamalkan politik licik, kotor, mengikut telunjuk bapanya, tidak bermoral dan tidak berprinsip,” katanya.
Menurut beliau, sehubungan itu kenyataan tersebut tidak mendedahkan pihak plaintif kepada penghinaan dan kebencian masyarakat yang boleh merendahkan beliau.
“Dengan itu dapat disimpulkan kenyataan oleh defendan tidak bersifat memfitnah kepada pihak plaintif menurut prinsip undang-undang. Justeru itu plaintif gagal membuktikan kes terhadap defendan pada imbangan kebarangkalian,” ujar Hakim Nordin.
Mahkamah menolak saman itu dengan kos RM15,000 untuk dibayar kepada pihak defendan.
Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 30 Disember 2016, Mukhriz mendakwa, Tunku Abdul Aziz ada mengeluarkan satu kenyataan bertajuk Memang Wujud Pakatan Sulit antara Tun Mahathir dan Kit Siang dan dilaporkan di dalam blog AIDCNews.
![]() |
|
MUKHRIZ TUN MAHATHIR
|
Timbalan Presiden PPBM itu mendakwa, pada 1 Januari 2017, pihaknya membuat penafian secara terbuka dan mengemukakan notis tuntutan meminta defendan membuktikan kenyataan fitnah itu, sekiranya gagal, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap defendan.
Pada 3 Januari 2017, defendan bagaimanapun ada menerbitkan atau menyebabkan terbit satu lagi kenyataan akhbar bertajuk Tunku Abdul Aziz gesa Mukhriz, Kit Siang buat pengakuan bersumpah.
Tunku Abdul Aziz diwakili peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz, 54, memberitahu pemberita, pihaknya perlu mendapatkan arahan terlebih dahulu daripada anak guamnya sama ada mahu mengemukakan rayuan atau sebaliknya.
Mukhriz dan Tunku Abdul Aziz tidak hadir di mahkamah.











