1,828 saman dikeluarkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri - Utusan Malaysia

1,828 saman dikeluarkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Sejumlah 1,828 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pemandu kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri yang dijalankan bermula 8 Jun hingga semalam.

Jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 407 notis atau 18 peratus berbanding jumlah pada tahun lalu iaitu sebanyak 2235 saman.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md. Taib berkata, angka tersebut jelas menunjukkan bahawa pengguna jalan raya mempunyai kesedaran yang lebih tinggi untuk mematuhi peraturan .

“Walaupun jumlah kenderaan dan pengguna semakin bertambah, tetapi penurunan itu merupakan satu petanda positif daripada segi sikap pengguna.

“Namun ia masih jumlah yang tinggi dan kita berharap orang ramai lebih peka untuk mematuhi peraturan di jalan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Motosikal JPJ Selangor di Plaza PJS 2, Taman Dato Harun di sini kelmarin.

Nazli menambah, antara notis saman berkenaan berkaitan kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan lesen tamat tempoh iaitu sebanyak 519 saman.

“Sebanyak 616 saman dikeluarkan bagi kesalahan Lesen Kenderaan Motor yang tamat tempoh dan tidak memiliki perlindungan insurans.

“Sebanyak 166 notis dikeluarkan bagi beberapa kesalahan utama yang melibatkan tidak memakai tali pinggang keledar, tidak patuh lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan juga memotong kenderaan di sebelah kiri,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi pemeriksaan  terhadap motosikal sepanjang  operasi tersebut, daripada 3179 motosikal yang diperiksa, sebanyak 942 saman telah dikeluarkan.

“Antara kesalahan yang diberi notis adalah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan juga kesalahan berkaitan teknikal kenderaan.

“Bagi operasi pada malam ini (kelmarin) kami turut mengesan seorang pemandu remaja yang berusia 16 tahun. Motosikalnya disita dan dia disaman kerana tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Operasi yang bermula pada pukul 8 malam dan tamat pada pukul 1 pagi itu turut disertai kira-kira 70 anggota penguatkuasa yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Bagi operasi pada malam tersebut, sehingga pukul 9.40 malam, sebanyak 54 notis saman dikeluarkan dan pihaknya menyita sebanyak 12 motosikal.

Turut ditahan, lima lelaki berusia antara 23 hingga 31 tahun selepas saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah jenis methamphetamine dan opiad. Kesemuanya disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

Imigresen turut menahan dua wanita dan seorang lelaki warga Indonesia dan India. Mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 15(1)(c) kerana memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang tamat tempoh serta Akta Imigresen 6(1)(c) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.  – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN