JOHOR BAHRU 25 Jun – Pemilihan UMNO di negeri ini pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung menarik apabila 16 daripada 26 jawatan ketua bahagian menyaksikan pertandingan bagi penggal 2018-2021.
|
|
||||
|
|
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Md. Jais Sarday berkata, hanya 10 ketua bahagian termasuk seorang muka baharu iaitu Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaide Makmor yang diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Menurutnya, sembilan lagi ketua bahagian yang menang tanpa bertanding ialah Ismail Mohamed (Pagoh), Datuk Ir Hamim Samuri (Ledang), Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar), Datuk Zulkurnain Kamisan (Parit Sulong), Datuk Samsol Bari Jamali (Ayer Hitam), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Ir. Hasni Mohammad (Pontian) dan beliau di Kluang.
“Sebanyak 14 bahagian bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu, manakala dua bahagian, iaitu Bakri dan Batu Pahat pula melibatkan pertandingan tiga penjuru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Md. Jais berkata, antara ketua bahagian yang dicabar pada pemilihan kali ini ialah Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri; Tan Sri Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi (Batu Pahat) dan Datuk Dr. Adham Baba (Tenggara).
Pemilihan kali ini juga, katanya, menyaksikan empat penyandang ketua bahagian tidak mempertahankan jawatan mereka, iaitu Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad (Mersing), Datuk Ab. Aziz Kaprawi (Sri Gading), Datuk Md. Othman Yusof (Tanjung Piai) dan Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahaman (Kota Tinggi).















