15 pengganas Daesh ditahan - Utusan Malaysia

15 pengganas Daesh ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jun – Cuba melancarkan serangan menggunakan kereta untuk merempuh pengundi bukan Islam di pusat mengundi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

MOHAMAD FUZI HARUN
MOHAMAD FUZI HARUN

Itu peranan seorang suri rumah yang ditahan bersama 14 individu lain dipercayai anggota Daesh dalam beberapa operasi dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan, Johor dan Selangor bermula 27 Mac hingga 9 Mei lalu.

Selain itu, wanita berusia 51 tahun itu turut merancang me­nyerang rumah ibadat bukan Islam menggunakan kereta dimuatkan de­ngan tong gas sebagai bahan letupan namun kedua-dua usaha ter­babit berjaya digagalkan apabila diberkas di Puchong dekat sini 9 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 51 tahun itu terdiri daripada enam warga tempatan, enam warga Filipina terma­suk dua pemegang taraf penduduk tetap (PR), sepasang suami isteri warga Afrika Utara dan seorang warga Bangladesh.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan seorang pelajar tingkatan lima di Petaling Jaya, dekat sini pada 20 April lalu selepas dipercayai merancang menyerang gereja, pusat hiburan dan kuil Hindu sekitar ibu negara menggunakan bahan letupan molotov cocktail buatan sendiri.

“Suspek berusia 17 tahun itu menghasilkan enam molotov cocktail dan menguji satu daripadanya di kawasan lapang di Damansara Damai, Selangor.

“Suspek turut me­rakam video amaran melancarkan sera­ngan serta memuat naik kira-kira satu jam di tiga kumpulan aplikasi WhatsApp dan satu Telegram kumpulan Daesh sebelum ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, tiga warga asing yang ditahan di sini dan Gombak pada 2 April lalu merupakan pasangan suami isteri warga Afrika Utara berusia 22 dan 25 selepas menyusup masuk ke negara ini pada 16 Mac lalu sebelum berlepas ke negara ketiga.

“Pada tarikh sama kita menahan seorang pemilik restoran warga Bangladesh berusia 31 tahun di Jalan Bukit Bintang kerana disyaki terlibat aktiviti penyeludupan senjata api bagi kegunaan anggota pengganas antarabangsa dan tersenarai di bawah notis merah (Red Notice) Polis Antarabangsa (Interpol),” tambahnya.

Dalam pada itu, menurut Mohamad Fuzi, tangkapan turut melibatkan dua daripada empat inidvidu yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam rancangan melancarkan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh anggota polis.

Jelas beliau, suspek adalah Nor Farkhan Mohd. Isa yang dalam perancangan akhir melarikan diri ke negara jiran ditahan pada 20 April lalu di Johor Bahru, Johor manakala Muhammad Faizal Muhammad Hanafi ditahan tiga hari kemudian ketika menyerah diri di Balai Polis Meranti, Pasir Mas, Kelantan sementara dua lagi masih bebas.

Beliau berkata, tangkapan lain melibatkan seorang lelaki berusia 33 tahun pada 27 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Suspek didapati berlepas ke Turki pada 31 Januari lalu untuk cuba menyusup ma­suk ke Syria sebelum diusir pihak berkuasa negara berkenaan.

“Tujuh lagi anggota Daesh warga Filipina berusia 22 hingga 49 tahun ditahan pada 24 dan 26 April di Sabah selepas disyaki merancang mengumpul senjata api di negeri berkenaan untuk tujuan berjihad di Marawi, Filipina,” katanya.

Menurut beliau, kesemua suspek warga tempatan serta dua warga Filipina pemegang taraf PR di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Keganasan, Akta 574 Kanun Keseksaan dan akan disisasat mengikut prosedur di bawah Akta 747 Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 manakala tiga lagi suspek warga asing disiasat di bawah Kesalahan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN