KUALA LUMPUR 27 Mei – Program tahunan World #QuranHour (WQH) 3.0 yang akan dilangsungkan pada 7 Jun bersamaan 22 Ramadan akan datang dijangkakan menarik penyertaan yang lebih menggalakkan berbanding tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff, upacara utama WQH 3.0 yang akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, bermula pukul 11 hingga 1 tengah hari itu dijangka menarik lebih 3,000 peserta dari seluruh negara yang akan sama-sama membaca ayat suci al-Quran dari surah Al-Hujurat.
“Setakat ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan untuk sama-sama menyertai program ini, sementara bacaan ikrar Quran akan dibaca oleh pemimpin muda terkenal, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga merupakan Ketua Pemuda PPBM merangkap Ahli Parlimen Muar.
“Sempena Malaysia Baharu juga, kita sangat mengharapkan penyertaan lebih ramai pemimpin daripada pelbagai parti politik untuk sama-sama menyertai dan memeriahkan WQH 3.0, kerana kita mahu menyampaikan mesej yang baik, mahu kembali kepada nilai-nilai yang betul seperti yang diajar di dalam al-Quran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.
WQH 3.0 akan diadakan serentak di seluruh dunia dan umat Islam disarankan untuk turut sama menyertainya.
Program tersebut menyasarkan penyertaan dari 100 buah negara, dengan 400 juta tontonan daripada 1 bilion pengikut melalui media sosial.
Menurut Marhaini lagi, bagi memeriahkan lagi WQH 3.0, satu program konvoi Ride for World #QuranHour akan turut dianjurkan di Masjid Merdeka, Kuala Lumpur pada 3 Jun nanti, yang mana pada program tersebut, naskhah al-Quran akan turut diedarkan kepada peserta.
Katanya, konvoi tersebut jauh melangkaui jangkaan asal sebanyak 1,000 peserta dan setakat ini telah menerima 1,800 penyertaan yang mahu sama-sama memeriahkannya.
Konvoi Ride for World #QuranHour itu akan turut dihadiri oleh Datuk Rosyam Noor, Norman Hakim dan beberapa selebriti terkemuka lain.











