KUALA LUMPUR 27 Mei- Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie memberitahu dia sudah menetapkan tempoh sebelum bersedia untuk membuat laporan polis ke atas seorang wanita yang kononnya hamil lima bulan akibat perbuatan salah seorang anggota ahli kumpulan rock lagenda itu.
Awie memberitahu ketika ini juga dia sudah mengumpul segala bukti berkaitan wanita tersebut yang dilihat seperti sengaja mahu mencalarkan imej kumpulan ini.
“Saya akan tunggu sehingga tempoh yang diberikan padanya tamat sebelum buat laporan polis kerana dia memalukan kumpulan Wings.
“Semua bukti juga sudah ada. Dakwaan wanita itu membabitkan nama kumpulan Wings dan saya tidak mahu perjuangan Wings selama 33 tahun musnah kerana isu ini,” katanga ketika sidang akhbar selepas menjayakan program Nostalgia Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.
Jelas Awie dia juga pernah bercakap sendiri dengan wanita terbabit dan meminta wanita itu tampil dengan bukti. Bagaimanapun sehingga kini wanita itu gagal berbuat demikian selain hanya terus menimbulkan kekacauan.
“Saya pernah bercakap dengan wanita itu yang ‘meroyan’ dan seperti tidak betul. Dia juga mengugut mahu datang buat kacau ketika kami buat persembahan di hotel ini.
“Saya juga mencabarnya jika dia di pihak yang benar, sila buat ujian DNA dan laporan polis tetapi sampai sekarang tiada sebarang bukti dikemukakan pun,” katanya.
Jelas Awie jika benar salah seorang anggota kumpulan ini melakukan kesalahan dia tidak akan berselindung untuk membantu mereka yang teranaiya. Bagaimanapun tuduhan itu perlu disahkn dahulu memandangkan setiap dari anggota Wings juga mempunyai keluarga.
“Sebab itu saya yang ke depan dan bercakap bagi pihaknya kerana belum ada bukti dia melakukan kesalahan itu.
“Rumah tangganya juga terjejas tapi mujur dia memiliki isteri yang bagus dan memahami apa yang dilalui Wings selama ini.
“Kami juga ada keluarga untuk disara dan tidak mahu nama Wings terjejas dengan dakwaan sedemikian,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











