KUALA LUMPUR 20 Mei – Seorang lelaki warga emas ditemukan selamat hari ini selepas dilaporkan sesat di Kampung Kemensah, Ulu Klang, dekat sini sejak petang semalam.
Mangsa, Jangjit Singh, 60, bersama kira-kira 30 ahli kumpulannya memasuki kawasan tersebut untuk melakukan aktiviti berkumpulan sebelum disedari hilang pada pukul 6.40 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.35 pagi ini selepas usaha kumpulan tersebut mencari mangsa gagal.
Menurutnya, hasil maklumat, sebanyak 110 anggota daripada gabungan pihak bomba, polis, Jabatan Perhutanan, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Kita memperluaskan kawasan pencarian sehingga lapan kilometer persegi dari lokasi dilaporkan hilang dan mewujudkan empat sektor pencarian.
“Mangsa akhirnya ditemukan di tepi Empangan Klang Gate pada pukul 1.45 petang tadi dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











