SUNGAI PETANI – Seorang wanita warga emas berusia 63 tahun cedera dikelar pada tangan manakala anak perempuannya berusia 38 tahun mengalami kecederaan ringan dalam kejadian ragut yang berlaku kira-kira pukul 10 malam di Jalan Petri Pekan Lama pada 25 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang menuju ke arah motosikal mereka sebelum didatangi sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang dinaiki dua suspek lelaki.
“Suspek yang datang dari arah belakang telah menarik beg tangan milik anak mangsa. Dia kemudian menolak anak mangsa sehingga terjatuh sewaktu anaknya cuba menarik kembali beg itu. Mangsa yang melihat kejadian itu turut bertindak menarik beg terbabit namun dikelar pada bahagian tangan oleh seorang daripada suspek.
“Kejadian itu bagaimanapun disaksikan oleh seorang individu lain yang terus merempuh motosikal dinaiki suspek menyebabkan motosikal itu terbalik. Seorang suspek lelaki berumur 23 tahun berjaya diberkas. Usaha mengesan seorang lagi suspek yang meloloskan diri sedang giat dijalankan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan pada tangan kanan menerima empat jahitan manakala anaknya mengalami bengkak pada bahagian belakang kepala akibat terjatuh di atas tar. – Bernama









