PETALING JAYA 22 Mei – Perbuatan seorang wanita warga emas yang mendera kanak-kanak perempuan dengan merotan di beberapa bahagian badan mangsa sehingga menjadi tular dalam media sosial dua tahun lalu, dihukum penjara sehari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
V. Tanawali, 63, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun terbabit dengan memukulnya menggunakan rotan pada bahagian muka, badan serta kedua-dua tangan dan kaki.
Kes itu sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara hari ini apabila seorang saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan, sebelum wanita itu bertindak menukar pengakuan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Puchong Perdana, Jalan Mawar, Bukit Puchong dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi, September 2016.
Wanita yang menjaga kanak-kanak terbabit sejak kematian ibu bapanya didakwa mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah dipukul oleh tertuduh di bahagian muka, badan serta kaki dan tangan menggunakan rotan kerana mangsa tidak sengaja menjatuhkan makanan.
Rakan tertuduh yang berada di dalam rumah itu telah merakam perbuatan tertuduh yang memukul mangsa yang kemudian tular dalam media sosial.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya V. V Suloshani sementara tertuduh diwakili peguam G. Manimegalai. – UTUSAN ONLINE











