Wanita sesak nafas terperangkap di pintu bank - Utusan Malaysia

Wanita sesak nafas terperangkap di pintu bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK – Seorang wanita mengalami detik cemas sehingga sesak nafas apabila terperangkap hampir 2 jam di sebalik pintu di sebuah bank di kawasan Selayang Jaya di sini tengah malam semalam.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam itu terjadi apabila mangsa, warga tempatan yang berusia lingkungan 30-an itu mahu mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bank tersebut.

“Setelah selesai menjalankan urusannya, dia cuba untuk keluar dari pintu hadapan bank tersebut apabila kedua-dua pintu tertutup menyebabkan dirinya tersekat di antara kedua pintu tersebut.

“Keluarganya yang berada di hadapan bank tersebut telah menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan dan seramai 10 anggota bomba beserta kenderaan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Selayang bergegas ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Beliau menambah, ketika sampai ke lokasi, mereka mendapati kedua-dua pintu tersebut telah terkunci secara automatik dan tidak boleh dibuka walaupun cuba ditarik oleh anggota bomba.

“Bank tersebut juga tidak mempunyai pegawai keselamatan dan kebenaran untuk memecahkan pintunya daripada pihak pengurusan bank tersebut juga masih tidak diterima. Kira-kira pukul 1.40 pagi, keadaan menjadi cemas apabila mangsa mula mengalami kesukaran untuk bernafas.

“Pasukan ERMS telah membekalkan topeng oksigen untuk dipakai oleh mangsa bagi membolehkan dirinya bernafas sementara bomba cuba membuka kunci magnet pada pintu tersebut dengan menggunakan peralatan khas,” ujarnya.

Beliau berkata, pintu tersebut berjaya dibuka pada pukul 2 pagi dan mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan paramedik dan ERMS sebelum dibawa ke Hopsital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

Video dan gambar kejadian tersebut mula tular di laman media sosial pada awal pagi hari ini yang menunjukkan seorang wanita cuba ditenangkan anggota bomba apabila dirinya tersekat di sebalik pintu di sebuah bank di Selayang Jaya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN