DUNGUN 23 Mei – Seorang wanita cedera parah dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di kilometer 94, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, di Kampung Pinang Merah, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi memberitahu, dalam kejadian pukul 8.05 pagi itu, wanita berusia 42 tahun yang memandu kereta Proton Wira tersepit dalam kenderaan yang remuk dan parah kaki kirinya.
“Kereta yang dipandu oleh wanita itu dalam perjalanan ke bandar Dungun bersama empat penumpang lain hilang kawalan selepas melalui satu selekoh menyebabkannya terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kereta tersebut kemudiannya melanggar dua buah kereta kereta jenis Perodua Viva dan tiga buah motosikal yang dalam perjalanan ke Bandar Paka. Tujuh lagi mangsa cuma cedera ringan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










