Wajibkah beri wang kepada ibu bapa? - Utusan Malaysia

Wajibkah beri wang kepada ibu bapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apakah seorang anak wajib memberikan wang belanja kepada kedua-dua ibu bapanya sedangkan mereka berkemampuan? Pendapatan anak tidak seberapa.

* Shaka, Bayan Lepas.

UKE: Allah SWT berfirman:

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin.” (Surah al-Baqarah:83)

Islam menganjurkan agar berbuat baik kepada ibu bapa, dan mentaati mereka juga suatu kewajiban melainkan pada perkara syirik atau maksiat.

Dalam hal anda yang mempunyai pendapatan tidak seberapa, sebaliknya ibu bapa pula berkemampuan maka bantulah mereka daripada sudut yang lain pula.

Berbuat baik kepada ibu bapa bukan hanya memberi wang semata-mata bahkan banyak lagi bentuk kebaktian yang boleh dibuat.

Tidaklah berdosa jika anda memang tidak berkemampuan tambahan pula ibu bapa orang berada. Tetapi jika ibu bapa anda adalah orang susah, maka tanggungjawab anda bersama adik-beradik yang lain untuk memastikan ibu bapa anda tidak dihimpit kesusahan.

Yang berdosa ialah anak-anak senang-lenang tetapi dibiarkan ibu bapa hidup merempat.

 

Rumah tidak dimasuki malaikat?

Adakah betul malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada patung teddy bear dan bolehkah sekiranya saya meletakkan patung itu sekadar hiasan di dalam bilik?

* Auni, Johor.

UKE: Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk rumah yang di dalamnya ada patung dan lukisan.” (Hadis riwayat al-Bukhari-Muslim, sahih Muslim, 2112).

Namun jika patung itu merupakan permainan kanak-kanak yang belum cukup umur maka ia adalah diharuskan disimpan di dalam rumah. Jika anak itu sudah akil baligh maka tidak layak lagi untuk disimpan, dipamer atau dihias kerana keharusannya sudah berakhir.

 

Lelongan atas talian

Apakah hukum membeli barangan secara bidaan atau lelongan di Internet?

* Jamal, Seremban.

UKE: Ada satu riwayat menceritakan: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menjual hilsan (hamparan seperti permaidani atau selimut di belakang binatang kenderaan), lalu bersabda: Adakah sesiapa ingin membeli hamparan ini, lalu berkata seorang lelaki: Aku setuju mengambilnya dengan harga satu dirham, lalu baginda SAW bersabda lagi: Ada sesiapa ingin membayar lebih daripada satu dirham, lalu seorang lelaki bersetuju dan membayar dua dirham, lalu Nabi SAW menjualnya kepada lelaki itu. (Riwayat At-Tirmidzi, nombor 1139, At-Tirmidzi: Hadis hasan).

Berdasarkan kepada hadis tersebut, ulama-ulama mengatakan harus perniagaan secara bidaan atau lelongan.

Namun pasti ada syarat tertentu untuk membolehkan keharusan itu berlaku iaitu mestilah segala perjalanan perniagaan dan urusan bidaan mengikut syarat-syarat dan hukum syarak.

Pastikan tiada unsur judi atau bayaran tertentu untuk membuat bidaan lelongan tersebut.

 

Hukum tengok rambut gugur?

Apakah berdosa sekiranya bukan muhrim melihat rambut gugur wanita?

* Norlia Mohd. Sokarnor, Bentong.

UKE: Ada perselisihan pendapat dalam kalangan ulama berkenaan perkara ini. Dalam mazhab Al-Syafie, ulama-ulama mazhab ini kebanyakannya berpendapat bahawa rambut wanita yang terpisah daripada badannya itu tetap dianggap sebagai aurat yang haram dilihat oleh lelaki ajnabi.

Dr. Wahbah Al-Zuhaili Rahimahullah mengatakan: Setiap yang haram untuk dilihat ketika ia bersambung dengan anggota badan, haram juga untuk dilihat apabila ia terpisah daripada badan. Begitu juga setelah kematian sekalipun.

Yang kedua, ulama bermazhab Hambali mengatakan tidak aurat. Kata Al-Syeikh Abdul Qadir Umar Al-Syaibani Rahimahullah: Maka tidak boleh untuk seorang lelaki itu memandang sedikit pun daripadanya (orang perempuan) sekalipun rambutnya yang bersambung. Ada pun rambut yang terpisah daripada wanita ajnabi maka dibolehkan untuk seorang lelaki itu menyentuhnya serta memandang ke arahnya. Sekalipun ia merupakan bahagian aurat, ini kerana telah hilangnya keharamannya disebabkan terpisahnya ia daripada jasad. Rujuk Nail Al-Maarib, Abdul Qadir Al-Syaibani (2/138).

Maka saya menasihatkan agar anda mengambil jalan berhati-hati dalam perkara ini iaitu adalah lebih baik anda menyimpan rambut yang telah digunting daripada dilihat oleh lelaki ajnabi. Orang dahulu menanam rambut mereka yang digunting dan mengelak daripada menunjukkan rambut yang digunting kepada lelaki yang boleh dikahwini.

Adapun rambut yang sedikit dan tidak dapat dielak akibat gugur yang mungkin gugur di jalanan, di bilik mandi, dalam nasi lemak atau di mana sahaja maka ulama mengatakan ia dimaafkan jika dipandang oleh lelaki ajnabi kerana kesukaran untuk memeliharanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini