PUTRAJAYA 22 Mei- Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan membuat semakan semula terhadap semua projek mega yang dilaksanakan kerajaan terdahulu bagi melihat ketelusan termasuk dalam aspek perolehan dan tender.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, semakan semula itu turut melibatkan projek yang telah menerima Surat Setuju Terima (SST) kerana dipercayai dibuat secara tergesa-gesa sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Mohamed Azmin berkata, tindakan itu perlu diambil bagi memastikan perbelanjaan negara sentiasa berada dalam keadaan seimbang dan mengikut keperluan semasa selain mengutamakan keperluan asas rakyat seperti bekalan elektrik dan air.
“Kita mahu melihat semua projek mega yang telah diluluskan termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), jika perlu rundingan semula terhadap syarat-syarat akan dilakukan. Sekarang kita akan memberi tumpuan kepada projek yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Kita memberi jaminan setiap projek baharu selepas ini akan dibuat secara telus melalui tender terbuka selain melibatkan pembangunan secara menyeluruh di seluruh negara dan bukannya tertumpu di negeri-negeri terpilih sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas memulakan tugas pada hari pertamanya di kementerian baharu itu dengan menghadiri taklimat bersama Ketua Jabatan di Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Kompleks B di sini hari ini.
Menurut Mohamed Azmin, beliau juga telah dimaklumkan secara rasmi oleh EPU mengenai hutang negara yang berjumlah hampir RM1 trilion dan jumlah itu begitu tinggi kerana terdapat beberapa masalah dalam pelaksanaan projek kerajaan terdahulu. – UTUSAN ONLINE











