KUALA LUMPUR 10 Mei – Bagaikan sebuah pesta. Lebih 300 penyokong Pakatan Harapan berhimpun di luar pintu masuk kedua Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini sejak pukul 4.30 petang tadi.
Video Oleh AZMAN IBRAHIM
Mereka bersorak dengan melaung-laungkan slogan ‘hidup Tun!’, ‘hidup rakyat!’ diselang seli dengan laungan ‘reformasi!’.
Selain kibaran bendera Pakatan Harapan, suasana di luar Istana Negara juga kelihatan sesak dengan kehadiran orang ramai yang terdiri daripada pelbagai kaum selain riuh rendah dengan tiupan wisel para penyokong.
Kesemua mereka menantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara kira-kira pukul 9.30 malam ini. – UTUSAN ONLINE










