KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon teater, Gavin Yap tidak merancang untuk mementaskan teater Fork It pada 11 hingga 13 September ini sama seperti penyampaian pada tahun-tahun sebelumnya.
Malah, penambahbaikan telah dilakukan untuk menjadikan teater tersebut lebih menarik dan meninggalkan impak kepada penonton yang hadir ke Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) bermula Jumaat hingga Ahad ini.
“Tiada guna menghasilkan naskhah berulang, jadi pementasan kali ini berlainan dengan yang sebelumnya. Sebelum ini di Bobo KL, kami menggunakan pencahayaan asas kerana tetapan lampu yang digunakan sebenarnya lebih sesuai untuk persembahan muzik.
“Namun di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (Jcpac), saya berpeluang untuk bekerja dengan pereka cahaya yang lebih profesional. Jadi pencahayaan yang dihasilkan adalah lebih ekspresif dan sesuai untuk pementasan teater.
“Ini adalah perlu bagi menghidupkan identiti pelbagai cerita dalam pementasan Fork it yang mana ia berbeza antara satu dengan lain. Jadi secara visual, ia adalah pementasan yang berbeza dari sebelumnya.
“Dan di Bobo KL, penyampaian naskhah ini adalah lebih bersifat ‘stand up’. Di JCPac pula kami ada set pentas yang pelbagai untuk setiap cerita,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru baru ini.

Bercakap mengenai cabaran, Gavin memaklumkan menjadi kesukaran untuk beliau untuk memastikan agar pementasan tersebut tidak berat dan mudah dihadam audiens.
“Sebagai pelakon, bila membuat latihan, saya berdepan kesukaran untuk membayangkan bagaimana cerita ini dipentaskan. Itu cabarannya.
“Jadi, dari kaca mata pengarah, saya cuba sedaya upaya untuk tidak merumitkan pementasan ini. Penyampaian naskhah Fork it sememangnya mudah difahami agar ceritanya sampai kepada audiens,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama Gavin menjelaskan Fork it mengandungi beberapa cerita yang menggabungkan elemen autobiografi dan fiksyen dari sudut pandang lelaki berdarah campur di Malaysia.
“Bukan semua cerita dalam pementasan Fork it tentang saya. Ada cerita autobiografi dan ada juga cerita fiksyen.
“Contoh cerita menu Hainanese Chicken Chop yang mana tentang idea saya berkenaan sejarah masakan ini. Cerita ini berdasarkan teori sendiri, yang kemudian dihasilkan dalam bentuk komedi.
“Fork it adalah pementasan tentang identiti saya yang berdarah campur, yang disampaikan menerusi cerita tentang makanan. Saya tidak merancangnya, ia terjadi secara organik,” ujarnya.

Selain itu, Gavin yakin pementasan tersebut dapat menarik minat penonton untuk menyaksikannya kerana adanya cerita-cerita Malaysia yang bersangkut paut dengan kehidupan seharian orang tempatan.
“Menyampaikan skrip yang bagus atau cerita yang anda minati tidak cukup untuk menarik penonton datang menyaksikan teater ini. Kita perlu beritahu orang ramai bahawa cerita ini ada untuk ditonton, dan kemudian hasilkan penyampaian yang lebih menarik untuk meyakinkan penonton baharu datang menonton.
“Kebanyakan yang menonton Fork it dan teater Pewaris sebelum ini adalah golongan yang tidak biasa menonton teater.
“Ia adalah tentang bagaimana kita nak menguar-uarkan kepada orang ramai dan kemudian menyampaikan cerita yang berbeza untuk hiburan mereka. Saya berpendapat itu adalah faktor untuk menarik penonton menonton pementasan sebegini.
“Begitu juga saya, yang menonton teater Melayu kerana ada perkara menarik dalam pementasan itu. Itulah kelebihan Fork it, yang boleh ditonton semua golongan kerana ia cerita Malaysia, walaupun saya berdarah campur. Saya orang Malaysia, pengalaman saya juga dari Malaysia,” ujarnya.
Tiket Fork It yang bakal dipentaskan selama tiga hari di JCPAC boleh dibeli menerusi laman sesawang www.cloudjoi.com.- UTUSAN









