KUALA LUMPUR 28 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik saman yang difailkan terhadap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan satu lagi berhubung kenyataannya dalam ucapan yang dirakam pada 3 November 2014 berkenaan isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun memberitahu pihak media, saman anak guamnya itu ditarik balik tanpa kebebasan untuk memfailkan tindakan yang baharu.
Menurut beliau, bagaimanapun terma-terma penyelesaian antara pihak-pihak yang terlibat tidak didedahkan.
Sehubungan itu, katanya, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membatalkan tuntutan Najib.
Perkembangan kes itu turut disahkan oleh peguam Michelle Ng yang mewakili Tony dan peguam Shahid Adli Kamarudin bagi pihak pemiliknportal dalam talian Mediarakyat.com, Chan Chee Kong.
Bekas Perdana Menteri itu selaku pihak plaintif dalam pernyataan tuntutan menyatakan, Tony yang dinamakan sebagai pihak defendan merupakan salah seorang penceramah utama dalam satu majlis makan malam kutipan dana DAP, DAP Petaling Jaya Fund-Raising Dinner-New Chapter, New Hope.
Pihak plaintif menyatakan, dalam majlis tersebut Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu telah memfitnahnya antaranya dengan menggambarkan pihak plaintif telah ‘merompak’ duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB.
Najib sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan, ganti rugi teladan untuk ditaksirkan oleh mahkamah. – UTUSAN ONLINE










