KOTA BHARU 27 Mei – Harga barang keperluan di negeri ini terutama barangan basah untuk musim perayaan masih lagi terkawal dan tiada kenaikan luar biasa.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Firdus Zakaria berkata, sebanyak 132 anggota penguatkuasa digerakkan bagi meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua peringkat perniagaan termasuk kilang, pasar serta kedai runcit.
Beliau berkata, jaringan kerjasama dengan pengimport, pengeluar, pembekal, pemborong serta persatuan perniagaan turut ditingkatkan dan pihak industri memberi jaminan bekalan barangan keperluan adalah mencukupi.
“Setakat ini bekalan barang yang mendapat permintaan tinggi seperti ayam, telur dan daging adalah mencukupi serta mudah diperoleh oleh pengguna.
“Pemantauan kita di seluruh daerah juga mendapati harga barang kekal sama seperti sebelum bulan Ramadan dan tidak dinaikkan oleh peniaga sewenang-wenangnya.
“Harga ayam paling tinggi adalah di Jeli yang dijual dengan harga RM8.80 sekilogram mungkin kerana kos pengangkutan manakala di daerah seperti Kota Bharu, Kuala Krai, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat dijual pada RM7.50 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai pemeriksaan bersama 35 anggota penguatkuasa di Pasar Siti Khadijah di sini hari ini.
Firdus memberitahu, tiada sebarang notis dikeluarkan dalam operasi itu kerana kebanyakan peniaga mematuhi peraturan terutamanya membabitkan tanda harga dan penggunaan alat timbang yang disahkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemantauan harga dan bekalan barangan akan diteruskan bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan untuk mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan di musim perayaan. – UTUSAN ONLINE











