KUALA LUMPUR 20 Mei – Janji keuntungan dengan kadar lebih dua kali ganda dalam pertukaran mata wang asing. Itulah modus operandi kumpulan Gagak Hitam yang memerangkap mangsa serta dipercayai menyamun wang berjumlah kira-kira RM11.7 juta sejak dua tahun lalu.
Video oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
Bagaimanapun, kegiatan sindiket yang didalangi lima warga asing berusia antara 28 hingga 50 tahun itu terbongkar selepas ditumpaskan oleh pihak polis dalam kejadian di Jalan Memanda 2, Ampang dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 pagi apabila Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Polis Kuala Lumpur melakukan rondaan di Jalan Damai, Cheras di sini dan terlihat seorang lelaki berusia 29 tahun meminta tolong dan memaklumkan dirinya disamun lima lelaki warga asing berusia antara 28 hingga 50 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihak polis bertindak mengejar suspek yang melarikan diri menggunakan kereta jenis Toyota Vios dan ketika tiba di Jalan Memanda 2, Ampang penjenayah tersebut memberhentikan kereta kemudiam berpecah untuk elak ditangkap.
Jelas beliau, seorang daripada suspek cuba menyerang polis menggunakan parang sehingga empat das tembakan terpaksa dilepaskan bagi tujuan melindungi diri.
“Suspek berusia lingkungan 30-an itu meninggal dunia di lokasi, dua lelaki warga Arab dan Afrika serta dua warga tempatan dipercayai bersubahat berjaya diberkas manakala dua lagi warga Afrika yang meloloskan diri kini diburu.
“Mengikut keterangan mangsa, sebelum kejadian, dia mengadakan pertemuan dengan dua lelaki tempatan di Intermark, DoubleTree di sini bagi menukar wang miliknya berjumlah USD 150,000 (RM595,800) selepas tertarik dengan iklan di YouTube,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mazlan, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor itu dibawa menaiki kereta Toyota Vios dipandu seorang suspek warga Arab kononnya ke lokasi tempat pertukaran wang.
“Bagaimanapun, ketika tiba di Jalan Damai, Cheras di sini, lelaki tersebut didatangi sebuah lagi kereta Toyota Vios lain dinaiki empat lagi warga asing dan disamun sebelum terserempak pasukan D9 yang melakukan rondaan.
“Keempat-empat suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan merompak dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” ujarnya.











