KUALA LUMPUR 22 Mei – Dua anggota polis berpangkat konstabel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah daripada seorang individu bagi tidak mengambil tindakan undang-undang untuk kesalahan memandu tanpa lesen sah dan dadah terhadapnya, tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ahmad Nazreen Hajiman, 29, dan Muhammad Amin Azemi, 25, dengan niat bersama-sama meminta suapan wang tunai RM1,000 dan memperoleh RM100 daripada Mohamat Hasanudin Cholis.
Wang tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Mohamat Hasanudin yang memandu tanpa lesen sah dan melepaskan lelaki itu serta seorang lagi individu, Zulfaizan Zainuddin daripada disyaki terlibat dengan kesalahan dadah.
Tertuduh-tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Jalan Metro 2 dan di kawasan perumahan belakang Jalan Taman Emas, Kepong di sini antara pukul 12 tengah hari dan 1.30 petang, 22 April tahun lalu.
Ahmad Nazreen turut menghadapi pertuduhan ketiga iaitu didakwa memperoleh suapan RM500 bagi tujuan sama daripada Mohamat Hasanudin di depan Maybank Kepong Prima, Jalan Prima 5 pada pukul 9.50 malam, tarikh sama.
Bagi kesemua pertuduhan, kedua-dua anggota polis itu mengaku tidak bersalah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hakim Allaudeen Ismail membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 10 Julai ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE











