[VIDEO] Demam kuih akok Ori Klate di Kuching - Utusan Malaysia

[VIDEO] Demam kuih akok Ori Klate di Kuching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 21 Mei – Siapa sangka resepi kuih tradisional Kelantan, akok yang dipelajari daripada ibu mertua berasal mendatangkan rezeki kepada sepasang suami isteri yang berniaga pertama kali di bulan Ramadan di Jalan Haji Mataim di sini.

Menurut Nur Hasyah Mohammad Hassan atau lebih dikenali Asya, 34, dia yang berasal di Kampung No 3 di sini, mempelajari resepi warisan kuih tradisional Kelantan itu daripada ibu mertuanya, Mek Ratna.

“Alhamdulillah, gerai kuih akok Ori Klate yang kami buka mendapat sambutan begitu baik bukan hanya pembeli dari Semenanjung yang tinggal di bandar raya ini, malah masyarakat tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil promosi di media sosial, Facebook dan maklum balas baik daripada pelanggan membuatkan kuih akok kami laris hingga ada yang sanggup tunggu lebih sejam untuk membelinya, malah ada datang jauh dari Batu 12 semata-mata mahu merasai kuih ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kuih akok warisan asli yang diusahakan Asya bersama suami, Ahmad Azhar Ab. Rahman atau lebih dikenali sebagai Abey, 40, turut dibantu oleh empat adik-beradik lain berikutan permintaan yang tinggi.

Sebelum ini, mereka hanya mengambil tempahan melalui kenalan di Facebook, Nur Hasyah M. Hassan.

Mengulas lanjut, Asya memberitahu, antara cabaran dihadapi bagi membuat kuih akok enak dan asli rasanya ialah ramuan yang digunakan mesti tepat sukatan, di samping menggunakan bahan terbaik.

“Saya menggunakan telur gred AA bagi memastikan akok itu kembang, di samping hanya gula melaka dan santan segar mengikut resepi warisan.

“Untuk sehari, kami menggunakan 12 kilogram (kg) santan segar untuk menghasilkan kira-kira 1,200 akok,” katanya.

Menurut Asya, dia menjual kuih akok itu secara pek yang mengandungi 6 biji dengan harga RM5.

Bagi mereka yang berminat untuk menempah kuih akok Ori Kelate boleh hubungi Asya melalui aplikasi whatsapp di talian 016-585314 dan Awe (014-6832444) atau datang ke gerai Kuih Akok Ori Klate di Jalan Haji Mataim mulai pukul 2 petang setiap hari sepanjang Ramadan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN