KOTA BHARU 22 Mei – Aktiviti Daurah al-Quran sempena program tahunan Madinah Ramadan anjuran Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) terus mendapat sambutan ramai yang mahu merebut pahala di bulan mulia ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di khemah utama Madinah Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini mendapati hampir 200 peserta tekun mendengar bacaan dan terjemahan ayat-ayat al-Quran dari juzuk keenam serta kupasannya daripada ustaz serta qari jemputan.
Hadirin tidak berganjak meskipun program ini diadakan setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 1 petang sepanjang Ramadan termasuk pada hari bekerja.
Salah seorang peserta, Wan Rogayah Wan Mat, 65, dari Kampung Baung Bayam di sini berkata, dia datang bersama rakan-rakannya ke program itu setiap hari sejak bermulanya Ramadan.
“Tahun ini tahun kedua saya ikuti aktiviti ini, program ini sangat bagus dan memuaskan hati saya.
“Setiap hari kami habiskan bacaan dan pemahaman satu juzuk Al-Quran selama tempoh empat jam.
“Saya dapat dengar cara bacaan yang betul daripada dua qari yang bertugas manakala dua pengkuliah pula menerangkan dengan lebih jelas maksud-maksud ayat yang dibaca,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE









