KUALA LUMPUR 31 Mei – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. akan menjalin kerjasama dengan Modalku Ventures Sdn. Bhd. (Funding Societies) bertujuan menghubungkan syarikat permulaan dan perniagaan kecil dengan pilihan pembiayaan alternatif.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Perniagaan Perbankan Negara bagi UOB Malaysia, Raymond Chui berkata, Funding Societies merupakan sebuah platform pembiayaan antara rakan setara atau Peer-to-Peer (P2P) serantau.
Menerusi kerjasama itu, syarikat permulaan dan pelanggan perniagaan kecil UOB Malaysia boleh mendapat akses kepada rangkaian pelaburan global Funding Societies bagi mengumpul modal kerja tambahan.
“Pelanggan UOB Malaysia juga berupaya mengumpulkan modal tidak langsung sehingga RM500,000 daripada pelabur individu dan institusi menggunakan platform dalam talian P2P Funding Societies tanpa keperluan menyatakan cagaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerjasama dengan pihak Funding Societies itu bakal mengukuhkan lagi komitmen UOB Malaysia untuk menyokong perniagaan kecil Malaysia melalui pelbagai peringkat perkembangan.
Chui berkata, UOB Malaysia memperakui bahawa adakalanya sukar bagi perniagaan di peringkat awal pertumbuhan mendapatkan akses kepada modal kerja tambahan akibat kekurangan aspek cagaran, sejarah kredit atau rekod prestasi perniagaan tersebut.
“Oleh itu, menerusi kerjasama dengan Funding Societies, kita kini dapat membuat tawaran kepada pemilik perniagaan baharu yang menimbangkan pembiayaan alternatif berbanding pinjaman bank tradisional,” katanya.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Funding Societies, Ryo Gim berkata, sejak dilancarkan pada Februari 2017, platform tersebut telah mengagihkan lebih RM40 juta dalam bentuk pembiayaan.
“Pembiayaan ini telah disalurkan kepada syarikat perniagaan dan pada masa sama mengekalkan kadar mungkir sifar peratus serta berkhidmat kepada lebih 10,000 pelabur,” katanya.










