SHAH ALAM 31 Mei – DRB-HICOM Berhad mencatat keuntungan kali pertama dalah tempoh tiga tahun setelah memperoleh keuntungan sebelum cukai berjumlah RM415.13j, dengan perolehan meningkat lebih 6 peratus berbanding tahun lalu menjadi RM12.79 bilion. Perolehan di dalam sektor Perkhidmatan dan Hartanah membantu prestasi rendah sektor Automotif.
Hasil prestasi tersebut, perolehan sesaham atau EPS DRB-HICOM melonjak ke 25.78 sen, berbanding -23.62 sen setahun yang lalu. Lembaga Pengarah syarikat telah membuat saranan bayaran dividen pertama dan terkahir sebanyak 3 sen sesaham, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham. DRB-HICOM telah membuat bayaran dividen 1 sen setiap saham dalam tahun kewangan yang lalu.
Menurut DRB-Hicom, sektor automotif mencatat perolehan RM7.47 bilion dalam tahun kewangan yang lalu, penguncupan 7.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pada peringkat sukuan, seperti juga suku yang sebelumnya, jualan kenderaan terus merudum dengan jualan keseluruhan industri dalam tempoh Januari ke Mac berjumlah 135,140 unit. Ini merupakan penurunan lebih 4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017, dengan industri terus dihantui masalah kelulusan pinjaman yang rendah serta sikap pengguna yang lebih cenderung kepada tunggu dan lihat.
Sektor Perkhidmatan syarikat pula mencatat kenaikan dari segi perolehan sebanyak 26.5 peratus berbanding tahun lalu ke RM4.49 bilion, dengan prestasi di Pos Malaysia serta Alam Flora mendorong pertumbuhan tersebut. Peningkatan urusniaga e-dagang dijangka terus menjadi pemangkin utama bagi Pos Malaysia dan mengatasi perolehan melalui perkhdimatan pos biasa.
Pada 2016, di seluruh dunia jumlah surat yang dihantar susut 4.2 peratus, sementara penghantaran bungkusan naik 7.8 peratus. Trend ini dijangka sama dalam tahun 2017 dan kekal dalam 2018.
Di dalam sektor Hartanah, perolehan dicatatkan pada RM824.86 juta, dengan projek-projek pembinaan menjana prestasi.
Menurut DRB-Hicom, dengan mengambil pandangan yang optimistik namun berjaga-jaga, DRB-HICOM dijangka menunjukkan prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019 kelak. – UTUSAN ONLINE










