MANCHESTER – Manchester United dilaporkan telah menolak permintaan Tottenham Hotspur yang cuba memasukkan Anthony Martial di dalam perjanjian untuk mendapatkan pemain pertahanan mereka, Toby Alderweireld.
Terdahulu, United dilihat cuba mengambil kesempatan terhadap kontrak Alderweireld bersama Spurs untuk membawa bintang Belgium tersebut ke Old Trafford pada Jun depan.
Sementara itu, Spurs pula menaruh minat terhadap Martial, 22, yang cukup kecewa selepas tidak diberikan banyak peluang bermain selepas ketibaan Alexis Sanchez pada Januari lalu.
Namun, laporan media telah mengesahkan Spurs bakal kehilangan khidmat Alderweireld selain United berharap Martial akan terus kekal biarpun bersedia untuk mendengar sebarang tawaran sekiranya pemain tersebut sudah tidak minat bersama kelab itu.
Alderweireld, 29, masih memiliki baki dua tahun kontrak dan Spurs telah bersedia untuk melepaskan pemain pertahanan itu dengan yuran perpindahan sekitar £50 juta (RM265 juta).
Martial yang sekadar berada dalam kesebelasan utama sebanyak empat perlawanan Liga Perdana England di antara Februari sehingga Mac lalu, hanya dinamakan sebagai pemain gantian untuk aksi final Piala FA bertemu Chelsea dan terlepas tempat bersama skuad Perancis bagi aksi Piala Dunia 2018. – Agensi










