KANGAR 20 Mei – UMNO negeri ini bersetuju supaya jawatan tertinggi parti itu khususnya melibatkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
![]() |
|
ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
|
Setiausaha UMNO negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, serahkan kepada ahli membuat keputusan bagi memilih siapa bakal menerajui parti itu ke arah lebih baik selepas ini.
“Kita jangan menafikan hak ahli-ahli UMNO dalam soal ini (pemilihan jawatan tertinggi UMNO). Saya sangat bersetuju supaya semua jawatan tertinggi parti dipertandingkan dalam pemilihan kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan tidak bersetuju jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Khairy dilaporkan berkata, budaya tersebut perlu dihentikan kerana ia dilihat antara penyebab masyarakat hilang kepercayaan terhadap UMNO, selain menjadi punca kekalahan parti itu dalam pilihan raya lalu.
Terdahulu, UMNO Melaka sebulat suara bersetuju supaya tiga jawatan tertinggi parti melibatkan kerusi presiden, timbalan presiden dan satu kerusi naib presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.
Sementara itu, Zahidi berkata, selain bersetuju jawatan tertinggi parti dipertandingkan, beliau juga menggesa barisan kepemimpinan Pemuda UMNO dirombak semula kerana gagal menarik sokongan orang muda pada pilihan raya lalu.
Katanya, saluran undi orang muda di seluruh negara menyaksikan mereka beralih arah kepada Pakatan Harapan.
“Pemuda UMNO kena kaji semula, kita kalah kebanyakkan disebabkan undi orang muda. Pemuda juga kena lihat kembali adakah pendekatan yang digunakan mereka untuk menarik sokongan orang muda selama ini sesuai,” katanya. – UTUSAN ONLINE












