KUALA LUMPUR 14 Mei – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memainkan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa kerana itu adalah apa yang diharapkan oleh rakyat.
![]() |
|
KHAIRY JAMALUDDIN
|
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menjelaskan, meskipun rakyat menolak Barisan Nasional (BN) tetapi mereka berharap parti itu dapat memainkan peranan sebagai blok pembangkang dengan baik.
Katanya, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), rakyat telah memberikan mesej yang jelas bahawa mereka menilai kerajaan dan mahu melihat ada pembangkang boleh menilai serta memastikan kerajaan semasa memenuhi semua janji pilihan raya.
“Bagaimanapun, tugas menjadi pembangkang yang kuat tidak akan berlaku serta-merta kerana masih dalam mood pasca penolakan pilihan raya umum yang segar dalam ingatan tetapi mahu tidak mahu dalam masa terdekat, mungkin beberapa minggu kena mula tugas sebagai pembangkang berwibawa.
“Akan ambil masa memenuhi kepercayaan rakyat untuk memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa, namun itulah agenda utama,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Mengulas mengenai desakan akar umbi supaya orang muda diberi kepercayaan untuk memimpin parti, Khairy menjelaskan bahawa parti itu perlu dinakhoda oleh barisan kepemimpinan yang mampu memulihkan parti.
Katanya, UMNO perlu dipimpin oleh orang yang betul, yang boleh menjadikan parti sebagai alternatif berwibawa dalam tempoh lima tahun.
“Bukan soal bagi pada orang muda, kekalkan orang lama, saya tidak mahu dengar itu. Saya telah katakan kepada ahli-ahli Pemuda supaya kita jangan terbawa-bawa dengan pemikiran itu,” ujar beliau.











