Tuntutan atau lepas geram? - Utusan Malaysia

Tuntutan atau lepas geram?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN tahun ini agak mencabar apabila menyaksikan institusi politik dan ekonomi Melayu mula dibaling dengan batu-batu kecil yang menuntut konsep kesamarataan diguna pakai dalam Malaysia ‘baharu’ pasca Pilihan Raya Umum Ke-14.

Tidak sampai sebulan selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN), seperti diramalkan, muncul banyak suara-suara mempersoalkan agensi berkaitan Islam, status bumiputera serta dasar yang berpihak kepada Melayu.

Menganggap Dasar Ekonomi Baru (DEB) berakhir dan alasan bahawa pemimpin Melayu adalah korup, memberi keyakinan kepada mereka untuk mempertikaikan dasar bumiputera terutama apabila melihatkan pemimpin Pakatan Harapan khususnya berbangsa Melayu seolah-olah berdiam diri.

Selepas timbulnya desakan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dihapuskan, datang pula tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf 2.0) yang mahu kaum India berpendapatan rendah diberikan peluang hak pemilikan tanah seperti rancangan Felda dan pengajian Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada kaum lain.

Provokasi yang kadangkala dilihat lebih kepada mahu melepaskan geram dendam terhadap Melayu dan Islam, tanpa melihat kepentingan dan sebab mengapa sesebuah dasar bumiputera itu diwujudkan.

Felda bertujuan meningkatkan taraf hidup Melayu atas alasan kekayaan penduduk majoriti akan memberi kesan rantaian kepada semua kaum.

UiTM pula memberi peluang kepada anak-anak Melayu me­lanjutkan pelajaran kerana selama ini sering terhalang akibat dasar meritokrasi di universiti awam serta kekangan kewangan.

Dasar-dasar ini perlu diteruskan kerana sepanjang 22 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, tidak cukup bagi beliau untuk menyelesaikan dilema Melayu dalam soal pendidikan dan ekonomi.

Kerangka membela nasib Melayu serta bumiputera bukan dibuat sesuka hati, sebaliknya mengambil kira kemiskinan yang membelenggu ma­syarakat Melayu dan hal itu sendiri diiktiraf badan antarabangsa seperti Bank Dunia.

Bukan menghalang kumpulan minoriti daripada mendapat peluang yang sama, tetapi sekurang-kurangnya perlulah masuk akal seiring dengan saiz bilangan mereka tanpa mengganggu hak kaum lain.

Apakah logik dan pulangan ekonomi jika memberi hak pemilikan tanah kepada minoriti, walhal kaedah itu tidak lagi diamalkan apabila struktur ekonomi Malaysia beralih kepada sektor pengeluaran dan perkhidmatan.

Jika benar Hindraf 2.0 mahu memperjuangkan nasib kaum India, kumpulan itu mungkin terlebih dahulu perlu mendesak kerajaan Pakatan Harapan meletakkan ramai kaum India sebagai menteri kanan dalam Kabinet.

Tidak pasti apakah nasib kaum Melayu, kerana apabila bersuara akan dituduh sebagai rasis dan kadangkala disindir bahawa UMNO tidak lagi berkuasa di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN