TAWAU – Seorang pemotong rumput warganegara Indonesia terbunuh dipercayai ditikam bertubi-tubi dengan senjata tajam di belakang tandas awam dekat Taman Awam Muhibbah, Jalan Utara di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, mangsa, Sarif Pance berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di bahagian depan badan.
Mangsa disyaki ditikam oleh seorang pengawal keselamatan berusia 49 tahun dengan sebilah pisau sepanjang 25 sentimeter.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan awal daripada seorang saksi mendapati, sebelum insiden berlaku mangsa dan suspek sedang berbual-bual di bawah sebatang pokok.
“Selepas 30 minit kemudian, mangsa dilihat masuk ke dalam stor menyimpan mesin rumput dan keluar semula berjalan ke arah pokok terbabit.
“Secara tiba-tiba, suasana bertukar kecoh dan saksi ternampak suspek menikam lelaki berkenaan beberapa kali pada bahagian dada menggunakan pisau sebelum dia bertindak melarikan diri ke kawasan perkampungan berhampiran Lapangan Terbang Tawau lama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan itu, polis kini giat mengesan suspek yang memakai baju-T warna putih dan seluar pendek jenis jean warna kelabu gelap serta berselipar sewaktu kejadian.
“Mayat mangsa pula seterusnya dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.










