SAUDARA PENGARANG, IZINKAN saya terus kepada isi pokok yang penting melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull.
Tuduhan beliau kepada Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai pengkhianat adalah tuduhan tergesa-gesa.
Mohd. Shukri sudah tentu tahu semua pegawai mempunyai kuasa yang terhad sebagaimana beliau sendiri lalui. Tatkala beliau melarikan diri ke luar negara, rakan-rakan SPRM lain ada yang dipecat dan ditukarkan.
Apa yang berlaku dalam SPRM ketika itu? Mohd. Shukri memang tidak tahu sebab beliau di luar negara, ibarat lepas tangan. Siapakah yang datang menyelamatkan SPRM kalau bukan Dzulkifli.
Tahukah Mohd. Shukri bebanan yang ditanggung oleh Dzulkifli? Bagaimana beliau terpaksa berkompromi untuk menyelamatkan nyawa Mohd. Shukri di samping menjaga integriti SPRM dan pada satu pihak lagi menjaga tangan yang menekan beliau.
Ada Mohd. Shukri terfikir begitu? Adakah beliau anggap Dzulkifli tidak tahu isu 1MDB dan beliau mendiamkan diri kerana sama terbabit? Dangkal sungguh tuduhan itu.
Kalau bukan kerana memikirkan keselamatan diri Mohd. Shukri dan SPRM, Dzulkifli juga boleh berbuat seperti yang beliau lakukan tetapi sebaliknya memilih kompromi demi nyawa seorang insan dan integriti SPRM.
Kini suasana kembali asal dan Dzulkifli kembali ke tempat asalnya dengan menyerahkan tugas sebagaimana asalnya dengan selamat. Burung yang ditembak dah kena dan semua mangsa berlapang dada tetapi kini tuduhan dilempar kepada Dzulkifli sebagai pengkhianat.
Macam mana saudara merasa sedih dituduh pengkhianat dahulu begitulah juga Dzulkifli. Lantaran itu, beliau mengambil sikap berdiam diri dan mematikan telefonnya apabila dihubungi.
Baginya, pengorbanan itu tidak perlu dihebohkan. Dulu Mohd. Shukri dituduh dan kini beliau pula menuduh. Tidakkah beliau terkenang kembali bagaimana keadaannya dahulu?
MEOR SHAARI
Sains Politik UKM











