SEOUL 20 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In hari ini membincangkan ancaman Korea Utara untuk membatalkan sidang kemuncak pertamanya dengan Washington, kata pejabat Presiden Seoul.
Menurut agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, selepas beberapa minggu hubungan diplomatik berjalan dengan lancar, Pyongyang secara tiba-tiba mengancam untuk menarik diri daripada sidang kemuncak pada bulan hadapan berikutan AS mendesaknya agar melucutkan senjata nuklear.
Korea Utara turut membatalkan pada saat akhir rundingan peringkat tinggi dengan Korea Selatan, sebagai membantah latihan tentera bersama antara Seoul dan Washington.
Menerusi perbualan telefon yang dirakam hari ini, Trump dan Moon bertukar pandangan mengenai pelbagai tindakan yang diambil Korea Utara baru-baru ini, kata pejabat Moon dalam satu kenyataan.
Kedua-dua pemimpin itu yang dijadualkan bertemu di Washington pada Selasa ini, bersetuju untuk bekerjasama demi kejayaan sidang kemuncak di Singapura pada 12 Jun depan, yang bakal menjadi persidangan pertama antara Presiden AS dan pemimpin Korea Utara.
Perubahan sikap Korea Utara secara mengejut itu menyusuli serangan menyakitkan hati selama seminggu yang menyaksikan Kim Jong-un mengadakan sidang kemuncak bersejarah dengan Moon dan bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping sebanyak dua kali.
Dalam satu sidang kemuncak bulan lalu di Zon Bebas Tentera yang memisahkan dua Korea Utara dan Korea Selatan, Jong-un dan Jae-in berjanji akan melucutkan senjata nuklear dan mengadakan perjanjian damai.
Pyongyang turut memberi harapan menjelang sidang kemuncak AS dengan mengumumkan akan memusnahkan kawasan ujian senjata nuklear pada minggu hadapan. – AFP











