PIALA Dunia 1974 merupakan era baharu dunia bola sepak yang menyaksikan konsep permainan total football yang berjaya menamatkan dominasi samba Brazil selama ini.
Pada pertengahan era 70an, Ajax dan Bayern Munich merupakan antara kelab utama yang mendominasi sukan popular itu dengan pendekatan bola sepak yang jelas berbeza berbanding permainan sebelum ini.
Ketika Belanda menampilkan pemain-pemain seperti Johan Cruyff, Johan Neeskens, Ruud Krol dan Willem van Hanegem dengan corak permainan menarik dan penguasaan penuh, Jerman Barat yang sedikit cenderung ke arah permainan bertahan tidak lagi mengharapkan kepada gerakan-gerakan pemain tengah seperti Guenter Netzer untuk menyekat lawan mereka.
Brazil dilihat tidak mampu mengekang corak pemainan baharu yang diperkenalkan pasukan-pasukan Eropah terutama selepas ketiadaan Pele, Gerson dan Tostao namun cukup bernasib baik tidak tewas kepada Scotland dalam aksi kumpulan.
Belanda tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan peringkat kumpulan tetapi Jerman berdepan sedikit tekanan selepas tewas kepada Jerman Timur selain bergelut untuk menang ke atas Chile dan Australia yang beraksi buat kali pertama.
Mangsa penyingkiran awal ialah Itali selepas bergelut untuk menewaskan Haiti sebelum tewas kepada Poland dalam aksi terakhir kumpulan.
Belanda terus cemerlang dengan permainan total football apabila membelasah Argentina 4-0 sebelum menundukkan Jerman Timur dan Brazil untuk menjadikan mereka sebagai kuasa baharu dunia bola sepak untuk memastikan mereka melangkah ke aksi final bertemu Jerman Barat.
Belanda, negara yang menunjukkan kebangkitan selepas Perang Dunia Kedua sememangnya berhasrat untuk memalukan Jerman Barat di laman mereka dengan menampilkan penguasaan penuh pada awal permainan aksi final tanpa pemain tuan rumah dapat menyentuh bola dan meraih jaringan pertama menerusi sepakan penalti Neeskens.
Belanda kemudian lebih banyak menyimpan bola dan mempermainkan barisan pemain Jerman Barat yang diketuai Franz Beckenbauer, tetapi kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-25 selepas Paul Breitner menyudahkan sepakan penalti yang diberikan selepas Bernd Hoelzenbein dijatuhkan ketika melakukan larian pantas di dalam kotak penalti.
Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Gerd Mueller memastikan kemenangan skuad Jerman Barat menerusi jaringan terakhirnya di peringkat antarabangsa sekali gus menjatuhkan moral pemain Belanda dan sekali gus membolehkan Beckenbauer menjulang trofi Piala Dunia yang baharu diperkenalkan pada tahun itu.











