LONDON 26 Mei – Sekali pun telah meninggalkan Manchester United pada 2003, namun kebencian David Beckham terhadap seteru tradisi, Liverpool masih terpahat jauh di sudut hati.
Bekas kapten England itu merayu agar legenda Perancis, Zinedine Zidane yang juga bekas rakan sepasukannya ketika di Real Madrid, menewaskan skuad Reds pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara, hari ini.
Beckham, yang meninggalkan Old Trafford untuk menyertai Real dengan nilai 25 juta pound (RM132.45 juta) menyuarakan isi hatinya itu dalam satu rakaman temubual bersama Zidane menjelang pertembungan akhir Liga Juara-Juara di Kiev.
“Menjadi pemain paling cemerlang selaku pemain dan kini bakal menjadi bos paling berjaya, bos besar, ia menakjubkan.
“Apa pun saya ingin mungucapkan kepada Zizou (Zidane), bos, presiden, kelab ini, semoga berjaya di pentas akhir Liga Juara-Juara.
“Dan tolong kalahkan Liverpool, tolong,” kata Beckham kepada Zidane.
Real sedang memburu kemenangan ketiga berturut-turut Liga Juara-Juara di Kiev dan pengendali dari Perancis itu menegaskan Los Blancos telah berusaha gigih untuk sampai di sana.
“Kami bergelut dan bekerja keras untuk sampai ke peringkat akhir.
“Banyak pengorbanan yang telah kami harungi, banyak kerja, banyak kepercayaan daripada orang.
“Sekali saya membuat keputusan untuk menjadi jurulatih, saya rasa tiada yang mustahil. Menjadi jurulatih untuk Real Madrid saya tahu kami boleh mencapai sesuatu yang hebat,” ujar Zidane.- AGENSI











