KUALA LUMPUR 28 Mei- Kumpulan Rock legenda Wings tampil dengan satu lagi kejutan buat peminat mereka.

Kali ini kumpulan yang terkenal dengan imej rock ini akan mengeluarkan koleksi busana tradisional dengan jenama Tokwi.
Menurut vokalis kumpulan ini, Datuk Awie, koleksi pertama Tokwi akan dipertontonkan kepada umum pada 9 Jun ini pada pertunjukan fesyen yang akan berlangsung di Pavvilion.
“Tokwi itu sendiri adalah nama kepada datuk saya dari beberapa generasi lepas. Saya sebenarnya sangat tertarik dengan pemakaian tradisional ini.
“Jadi kami sepakat untuk mengeluarkan koleksi Tokwi sempena hari raya tahun ini,” katanya.
Bercakap soal rekaan, kongsi Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman memberitahu, rekaan busana tradisonal ini tidaklah rumit yang disangka.
Bagaimanapun jelasnya, perlu bagi seseorang itu tahu untuk suai padankan warna pada penampilan mereka.
“Tidak banyak koleksi yang ada buat masa ini tetapi selepas sambutan hari raya ini Tokwi akan keluarkan lebih banyak pilihan dengan warna yang menarik.
“Soal rekaan tidak susah sebab semuanya sama sahaja, cuma padanan warna itu yang penting,” katanya.
Jelas Awie lagi, Wings turut mempunyai perancangan untuk membuka sebuah butik kelak dalam memudahkan peminat jenama ini mendapatkan busana pilihan mereka.
“Buat masa ini butik masih belum siap, lokasi mungkin terletak di Gombak.
“Soal harga pula jangan risau, saya tahu untuk busana tradisional seperti ini boleh menjangkau RM600 ringgit kerana kualiti kainnya juga. Sebab itu kami akan berikan harga kasih sayang,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE










