PONTIAN 20 Mei – Ketika umat Islam lain tenang dan bersyukur menyambut ketibaan hari pertama Ramadan lalu, tiga keluarga di Kampung Ulu Pulai, Pekan Nanas di sini sentiasa bertabah menempuhi ujian apabila terpaksa bersahur di dalam rumah yang digenangi air.
Hujan lebat pada awal petang ditambah dengan air pasang besar menyebabkan berlakunya limpahan air dari Sungai Ulu Pulai ke kediaman mereka sehingga ke paras lutut.
Seorang mangsa, Faridah Abu, 53, berkata, banjir tersebut merupakan yang paling buruk sejak mereka sekeluarga berpindah ke kampung tersebut 12 tahun lalu kerana menjaga orang tuanya yang uzur.
Banyak peralatan seperti perabot dan barang elektrik tidak dapat diselamatkan kerana ketika kejadian hanya dia dan anak mereka yang berusia 14 tahun berada di rumah, manakala suaminya belum pulang kerja.
Menurutnya, pada bulan ini sahaja beberapa kali kejadian banjir berlaku menyebabkan mereka sekeluarga ‘kecewa’ dengan masalah yang menimpa kerana terpaksa membersihkan rumah selepas air surut dan mengalami kerugian.
“Kejadian terbaharu ini antara yang terburuk kerana terpaksa berpindah menggunakan sampan ke rumah saudara di hadapan rumah ekoran air meningkat dengan cepat pada waktu malam.
“Walaupun tidak seburuk banjir besar pada tahun 2005, tetapi cukup merisaukan kami sekeluarga lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan kerana anak-anak berhajat untuk berkumpul pada hari pertama puasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Ulu Pulai, di sini.
Rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter dari Sungai Pulai menyebabkan kediamannya mudah dimasuki limpahan air apabila hujan lebat ditambah dengan sistem perparitan yang tidak baik,” katanya yang mampu berjalan dengan baik akibat pernah mengalami strok sebelum ini.
Seorang lagi mangsa, Raja Ismail Samsudin Raja Abas, 52, meminta supaya pintu kawalan air di Sungai Pulai dibina yang baharu bagi menggantikan pintu sedia ada yang telah lama rosak.
Katanya, masalah tersebut menyebabkan aliran air dari Sungai Pulai tidak dapat dilepaskan ke sungai utama dengan cepat sehingga mengakibatkan banjir di kawasan rumah penduduk yang berhampiran.
“Pada malam satu Ramadan lalu, kami sekeluarga bersahur secara ala kadar kerana dapur telah dimasuki air dan isterinya, Zalina Daud, 36, memasak makanan dengan apa yang ada,” katanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Pulai.
Justeru, dia berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut kerana mereka sudah tidak lagi mampu untuk menghadapi banjir setiap kali hujan lebat.











