Tiga bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara - Utusan Malaysia

Tiga bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga buah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara menerusi Operasi Perkasa Timur  pada jarak antara 45 hingga 52 batu nautika dari muara Kuala Terengganu semalam. 

Pengarah Maritim Wilayah Timur, Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, kes terbaharu itu menjadikan enam bot nelayan warga Vietnam yang ditahan sepanjang minggu ini.

Menurut Zulkarnain, ketiga-tiga bot nelayan tersebut ditahan oleh kapal APMM yang melakukan rondaan antara pukul 7.40 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, kita dapati kesemua bot itu memalsukan dokumen dengan menggunakan nombor pendaftaran negara ini. Seramai 40 awak-awak termasuk tekong berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun yang ditahan juga tidak memiliki sebarang pengenalan diri yang sah.

“Kita anggarkan keseluruhan jumlah rampasan bernilai RM3.6 juta termasuk hasil tangkapan ikan seberat 5.7 tan, 200 kilogram sotong, minyak diesel serta peralatan menangkap ikan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM, Pulau Kambing di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 79 bot nelayan warga asing berjaya ditahan sepanjang Operasi Perkasa Timur dijalankan bermula Januari sehingga akhir bulan ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN