KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkritik tindakan kerajaan Pakatan Harapan yang memberhentikan ribuan pegawai dan staf kerajaan.
![]() |
|
AHMAD ZAHID
|
Beliau dalam satu kenyataan berkata, dakwaan kerajaan bahawa mereka yang diberhentikan atas alasan kroni kepada Menteri dan ketua jabatan tertentu adalah tidak benar.
“Mereka ini adalah pemudahcara kementerian dan jabatan tertentu dan dilantik dengan persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
“Sebahagian besarnya tidak dilantik secara terus seperti yang didakwa oleh banyak pihak, sebaliknya perlu melalui proses yang sama dengan penjawat awam lain termasuk temu duga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, kerajaan perlu bersikap prihatin dalam perkara ini dan tidak menjadikan mereka sebagai agenda politik.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebahagian besar daripada kakitangan yang diberhentikan itu bergaji sederhana dan ada antaranya yang menerima gaji mengikut Gred 17 pada kadar asas RM935 sebulan.












