Tidak ganggu pihak berkuasa - Mukhriz - Utusan Malaysia

Tidak ganggu pihak berkuasa – Mukhriz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 27 Mei – Kerajaan negeri memberi jaminan untuk tidak masuk campur terhadap sebarang penugasan membabitkan pihak berkuasa di negeri ini bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan berada di tahap tertinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, dalam masa sama pihaknya turut berharap supaya kalangan penguat kuasa tidak membenarkan sebarang campur tangan dari pihak luar untuk menjejaskan tugas mereka.

“Kalau sama-sama kita berjanji yang perkara ini tidak akan berlaku, insya-Allah negara akan jadi lebih selamat.

“Pihak polis contohnya, me­rupakan sebuah agensi kerajaan yang sangat penting dengan keberkesanan penguatkuasaan terletak di bahu anda. Sepatutnya tiada unsur politik boleh mengganggu-gugat tanggungjawab anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Polis ne­geri, Datuk Zainal Abidin Kasim; Ketua Cawangan Khas negeri, Datuk Baharuddin Ahmad serta Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin.

Sementara itu katanya, perubahan yang diinginkan semua pihak seperti yang ditafsirkan pada pilihan raya umum lalu tidak mungkin akan menjadi kenyataan sekiranya masih ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

“Semua pihak harus memainkan peranan dengan ma­sing-masing perlu menyumbang bagi mewujudkan era baru yang tentunya membawa kejayaan kepada negara kita.

“Untuk itu saya menyeru supaya semua kita ambil sikap terbuka, berlapang dada untuk terima setiap teguran supaya masing-masing dapat mengambil iktibar dari kejadian lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN