Terima 14 jahitan di kepala - Utusan Malaysia

Terima 14 jahitan di kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mei – Sikap suka membuang objek dari tingkat atas rumah pangsa masih lagi berulang walaupun sebelum ini sudah terdapat kes kematian akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Terbaharu, seorang lelaki me­nerima 14 jahitan di kepala selepas dipercayai terkena serpihan kaca tingkap yang dibuang dari atas sebuah rumah pangsa di Su­bang Jaya, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.10 malam ketika mangsa yang berusia 47 tahun berada di bawah blok rumah pangsa tersebut.

“Kita percaya mangsa cedera selepas terkena serpihan kaca tingkap yang dibuang dari atas rumah berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Januari lalu, seorang remaja lelaki maut selepas ditimpa kerusi pejabat yang dibaling dari tingkat atas Projek Perumahan Rakyat Seri Pantai, Pantai Dalam di sini.

Tiga bulan selepas insiden menyayat hati itu, berlaku satu lagi kes sama dipercayai apabila sebuah kereta Perodua MyVi rosak terkena televisyen seberat 10 kilogram yang dibaling dari tingkat atas pangsapuri di Taman Seri Intan, Ampang, Sela­ngor.

Dalam pada itu, jelas Mohamad Azlin, pihaknya masih lagi me­lakukan siasatan untuk mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan tersebut.

“Siasatan sedang berjalan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan ke­rana menyebabkan kecederaan dengan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×